Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto IMRAN FAKHRI, 20 FEBRUARI 2018

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) setakat ini hanya berjaya memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat buah negeri sahaja.

Demikian kata Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya perkembangan terkini mengenai perkara itu oleh pemberita.

Jelasnya, ia berikutan wujudnya ketidaksepakatan di antara keempat-empat buah parti dalam gabungan itu.

“Kita dah selesaikan berkaitan dengan Parlimen tetapi berkenaan dengan negeri (Dewan Undangan Negeri) masih ada beberapa kawasan yang tidak dapat dipersetujui antara parti-parti.

“Sudah selesai empat buah negeri (agihan untuk DUN) tapi kita tidak boleh beritahu negeri apa,” katanya.

Mahathir berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini.

Selain Selangor yang masih gagal memuktamadkan pengagihan 15 kerusi DUN sesama parti, terbaru di Kelantan juga mengalami perkara yang sama.

Mahathir dalam pada itu memberi tempoh selama tiga hari bermula Selasa untuk Pakatan Harapan peringkat negeri menyelesaikan pengagihan kerusi sebelum ia diambil alih oleh Majlis Presiden untuk membuat keputusan.

“Kita telah tentukan kalau mereka tidak dapat selesai pada Jumaat ini mereka beritahu kepada ibu pejabat dan perkara itu akan diangkat kepada Majlis Presiden (Pakatan Harapan) untuk ditentukan di peringkat pusat dan nama itu mesti diterima oleh semua pihak,” ujar Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu. – MalaysiaGazette