PUTRAJAYA – Kira-kira 1,000 anggota dan bekas anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhimpun secara aman di perkarangan pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di sini hari ini untuk menyerahkan memorandum meminta jabatan itu mengambil tindakan terhadap PPBM.

Jurucakap kumpulan itu Kamarul Azman Habibur Rahman yang juga anggota pengasas PPBM dan bekas setiausaha parti, berkata mereka mahu RoS bertindak terhadap PPBM kerana pemimpinnya melanggar perlembagaan parti.

“Saya berada di sini kerana saya rasa ditipu oleh (barisan) kepimpinan,”katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan itu.

Kumpulan itu menyerahkan memorandum tersebut kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan RoS Mohd Rejab Ramli.

Pada perhimpunan yang berlangsung kira-kira 30 minit berkenaan mereka turut melaungkan ‘Undur Mahathir’ dan membawa plakad bertulis ‘Mahathir Diktator’, ‘Muhyiddin Yassin Our Prime Minister’ dan ‘Patuhi Perlembagaan’.-BERNAMA