Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor. foto IQBAL BASRI, 04 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Biar pun telah mendapat kata putus daripada Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah untuk menyelesaikan kemelut pembahagian kerusi gabungan itu di Selangor sehingga Isnin depan namun mereka nampaknya masih gagal mencapai kata sepakat.

Menurut Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PH negeri itu, Dr. Xavier Jayakumar, penyelesaian terhadap pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) hanya akan selesai sekiranya kesemua empat parti komponennya mencapai persetujuan.

“Belum selesai lagi, ada kerusi lagi yang kita kena selesai. Kita akan gunakan masa yang kita ada untuk selesaikan. Kalau tak boleh selesai di bawah, nanti kita bawa kepada Majlis Presiden untuk selesaikan,” katanya memetik laporan Antarapos hari ini.

Bagaimanapun, Xavier tetap optimis PH Selangor yang dipimpin Menteri Besar Selangor,  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mampu untuk menyelesaikan rundingan kerusi DUN di negeri itu tidak lama lagi.

“Kalau semua parti bersetuju, tiada masalah, kita boleh selesaikan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Mohamed Azmin diberikan tempoh sehingga Isnin depan bagi menyelesaikan rundingan agihan kerusi khususnya DUN.

Sekiranya gagal, pembahagian kerusi itu akan diambil alih Majlis Presiden gabungan itu. -MalaysiaGazette.