Akhbar Satar
Akhbar Satar

KUALA LUMPUR – Transperancy International Malaysia (TI-M) menggesa rakyat di negara ini hanya mengundi mana-mana calon yang bebas rasuah tidak kira calon Barisan Nasional (BN) atau pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Presidennya, Datuk Akhbar Sattar berkata, adalah penting untuk negara ini ditadbir urus oleh barisan pemimpin yang tidak terpalit dengan unsur-unsur rasuah.

Malah Akhbar Sattar tidak menolak elemen rasuah yang menghantui dunia sebenarnya banyak diamalkan dalam kalangan ahli politik tidak kira kerajaan pusat atau pembangkang.

“Kita minta rakyat untuk celik dan hanya mengundi mana-mana calon yang bebas rasuah, majoriti ahli politik ini sebenarnya mengamalkan budaya rasuah dan salah guna kuasa.

“Golongan muda khasnya yang mencorakkan masa depan negara pada masa akan datang seharusnya celik dan nampak keadaan semasa dan mengundi dengan betul. Pada masa yang sama, jauhi mana-mana aktiviti rasuah atau induvidu dan berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempersembahankan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Akhbar Sattar mendedahkan, tinjauan CPI tahun 2017 menunjukkan penurunan yang membimbangkan namun memuji tindakan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  membendung gejala rasuah terus menghantui negara ini.

Jelas Akhbar Sattar, SPRM telah banyak membantu membanteras gejala rasuah apabila bertindak menyiasat, menahan dan menyabitkan kesalahan terhadap pelbagai induvidu terutamanya yang ahli politik dan pegawai kerajaan.

“Malaysia jatuh ke kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah dunia pada 2017, jatuh tujuh mata berbanding 2016.

“Walaupun Malaysia muncul di kedudukan ke-3 dalam kalangan 10 negara Asean, ia masih jauh terkebelakang dari segi markah. Angka ini mungkin jatuh lebih teruk seandainya tiada penguatkuasaan dan tindakan agresif daripada SPRM sejak kebelakangan ini.

“Kita puji SPRM kerana telah melakukan yang terbaik bagi terus membanteras gejala rasuah dari masa ke semasa namun pada masa yang sama kita berharap akan ada lebih banyak perubahan serta tindakan pada masa hadapan,” tegasnya.

Malaysia memperoleh markah 47 daripada 100 dalam CPI yang dikeluarkan hari ini oleh kumpulan anti rasuah tersebut.

Di tempat teratas di kalangan Asean adalah Singapura dengan 84 markah, yang juga mendapat tempat ke-6 dalam kedudukan antarabangsa, diikuti Brunei dengan 62 markah.

Negara lain seperti Cuba, Romania, Jordan, Greece, Arab Saudi dan Croatia kini mendahului Malaysia.

Skor dan kedudukan CPI ditentukan menerusi tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala 0 (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

TI, yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Berlin, Jerman, mula melakukan kajian ini pada tahun 1995.

Kajian yang dibuat adalah berdasarkan pengumpulan data dari pelbagai pihak di berbagai tempat serta persepsi ahli-ahli perniagaan yang berurusan di sesebuah negara.

CPI memberi fokus kepada elemen rasuah dalam sektor awam dan ahli politik dengan melihat kepada penyalahgunaan kemudahan awam untuk kepentingan atau keuntungan peribadi. – MalaysiaGazette