Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berswafoto bersama sebahagian kakitangan Celcom Axiata pada Perhimpunan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)-Celcom Axiata di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. foto FAREEZ FADZIL, 23 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat –  siri penjajaran semula merangkumi sektor pendidikan dan sistem sokongan akan diutamakan, kata Perdana Menteri.

Ditanya mengenai perancangan kerajaan dalam pasca PRU-14, Datuk Seri Najib Razak berkata, sistem pendidikan dan sistem sokongan akan diperkasa ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Pelan itu selaras dengan persediaan kerajaan untuk mewujudkan golongan berkemahiran baharu dalam kalangan rakyat sebagai menghadapi rangkaian cabaran susulan tempias Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Ini keutamaan saya selepas pasca PRU-14 yang perlu diteliti tetapi dengan syarat rakyat masih beri mandat kepada kita (BN) untuk menerajui kerajaan.

“Malah perkara ini (penjajaran semula) sangat penting untuk diimplementasikan bagi memupuk bakat dan kemahiran khususnya dalam kalangan generasi pelapis untuk berdepan cabaran IR4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sesi perdampingan TownHall bersama lebih 1,000 pegawai dan kakitangan Axiata Celcom, di Axiata Arena, Bukit Jalil petang ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan meluangkan lebih sejam berucap dan melawat pameran inovasi Axiata, tanggungjawab sosial korporat dan sumbangan nasional syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Ia antara lain merangkumi pelancaran ‘Inisiatif Ekosistem Tanpa Tunai’ hasil inovasi Boost, iaitu aplikasi dompet elektronik (edompet) yang dibangunkan Axiata Digital.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Dalam pada itu, Najib berkata, Axiata Berhad sebagai salah satu syarikat GLC gergasi yang paling menyerlah di rantau Asia Tenggara dan memainkan peranan besar dalam sektor pertumbuhan ekonomi dan modal insan di negara ini.

“Saya lebih gemar untuk melihat GLC kita lebih bersifat lokal yang menjuarai rantau Asia pada masa akan datang ke arah ekonomi digital,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Perhimpunan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)-Celcom Axiata di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. foto FAREEZ FADZIL, 23 FEBRUARI 2018.

Disamping itu mengulas mengenai sasaran kerajaan tempoh masa 30 tahun mencapai TN50, Najib berkata, jangka masa itu realistik mengikut usaha dan segala dasar yang dilaksanakan kerajaan ke arah menjadikan Malaysia antara 20 terbaik dunia.

Dalam pada itu, beliau juga akan terus membantu rakyat meringankan kos sara hidup dengan menyediakan pelbagai pilihan alternatif seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Jualan Sentuhan Rakyat, subsidi bersasar dalam pendidikan, perubatan dan pengangkutan.

Ditanya juga sistem pendidikan yang berasingan melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan Tamil yang menampakkan jurang antara kaum, Najib berkata, ia tidak dapat ditangani melalui interaksi sesama kaum.

“Ya, saya mengakui berbanding dulu sistem pendidikan sekarang menunjukkan jurang itu, sewaktu saya kecil ada murid pelbagai kaum di sekolah saya, sekarang kebanyakannya Melayu di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama mengikut kaum.

“Tetapi kita perlu menerima hakikat pembelajaran murid di aliran sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil dan kita tidak boleh mengharapkan penyelesaian segera.

“Namun interaksi sesama budaya secara berterusan boleh menangani jurang itu dan kekalkan perpaduan dan keharmonian sesama kaum. Dalam hal ini, sebarang cubaan unsur ekstremisme perlu kita lawan untuk memelihara keharmonian,”tegas beliau – MalaysiaGazette