Home Nasional Kembalikan lebuh raya kepada pemilikan negara

Kembalikan lebuh raya kepada pemilikan negara

Kerajaan memerlukan tempoh dua atau tiga bulan untuk melakukan kajian berhubung pemansuhan tol lain sepertimana yang dilakukan terhadap empat tol sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Hasrat perdana menteri untuk memansuhkan operasi tol sebanyak mana yang boleh bukan mustahil dilakukan dan tepat pada masanya terutama melibatkan syarikat-syarikat konsesi tol negara yang sudah lama beroperasi.

Penganalisis bebas, Azrul Azwa Ahmad Tajuddin berkata, pemansuhan itu dapat dibuat dengan lebih mudah kerana syarikat-syarikat pemegang konsesi dikuasai oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLiC).

Syarikat konsesi tol PLUS Malaysia Berhad yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) misalnya, telah memegang konsesi tol sejak berdekad-dekad lamanya.

“Takanlah sudah berkurun-kurun pun tidak untung, tidak dapat balik modal atau hutang tidak habis-habis bayar lagi, mustahil kan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Secara peribadi, beliau menyambut baik usaha kerajaan kerana katanya, infrastuktur negara sepatutnya tidak perlu diswastakan dan patut dipegang sebagai aset pemilikan kerajaan dan rakyat.

Namun, tambah beliau, untuk melaksanakannya, kerajaan perlu melakukan satu rangka kerja yang komprehensif supaya ia dapat difahami oleh seluruh rakyat Malaysia, tidak seperti apa yang berlaku sebelum ini.

Selain itu, katanya, rakyat juga mahu tahu apa kesan daripada pemansuhan tol terhadap GLC dan GLiC yang memiliki kepentingan di dalamnya syarikat konsesi.

“Bukannya apa, kita sudah pasti mahu kerajaan ‘mengambil semula’ apa yang diberi kepada oleh GLC dan GLiC tetapi pada masa sama tidak mahu lagi amalan ‘memberi pampasan’ seakan-akan sama pula.

“Jika pampasan yang diberi cara yang lain tetapi tidak menjejaskan rakyat, tidak mengapa. Tetapi kalau ambil yang ada, suruh buat yang baru itu, ia sudah seperti neo liberal,” katanya.

Waima apa pun, Azrul berharap kerajaan dapat mempelajari kesan-kesan negatif daripada pelaksanaan tol yang terlalu banyak terutama di Kuala Lumpur sehingga menjejaskan kehidupan rakyat di bandar.

“Kita juga berharap kerajaan dapat melihat semula pelaksanaan tol-tol baru seperti SUKE, DASH, DUKE dan sebagainya, yang juga menaikkan kadar tol setiap tempoh tertentu.

“Kenaikan tol memang menyakitkan hati kerana membebankan kewangan pengguna, lantaran itu kerajaan perlu mencari mekanisme lain yang lebih kreatif dalam menangani kenaikan kos, pada masa sama keperluan lebuh raya tol tidak terjejas.

“Banyak negara barat telah melakukannya, tol di sana tidak dinaikkan, sebaliknya makin lama caj dikenakan semakin murah.

“Tetapi pendapatan syarikat konsesi diseimbangkan dengan pematuhan lebuh raya yang sangat komprehensif, iaitu penalti yang ketat. Di samping menjana pendapatan, syarikat konsesi di sana mendidik warga negaranya menjadi pemandu yang berhemah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast