Gambar hiasan

KUANTAN – Mayat penuntut undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) kampus Gombak yang dikhuatiri lemas di Air Terjun Lata Hammer Bentong dekat sini semalam, ditemukan pada 10 pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, mayat Mohd Faizal Yusri, 23, dijumpai kira-kira lima meter dari tempat dia kali terakhir dilihat.

“Mayat mangsa ditemukan pasukan menyelam bomba pada kedalaman 3.6 meter (12 kaki) selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Faizal yang berasal dari Pendang, Kedah dipercayai lemas setelah dihanyutkan arus deras pada 11.30 pagi semalam, semasa beriadah di air terjun itu bersama-sama lapan rakannya.

Mohd Sani berkata, empat rakan mangsa turut difahamkan hampir lemas, bagaimanapun sempat diselamatkan oleh orang awam di situ.

Operasi SAR terpaksa dihentikan pada 6 petang semalam kerana bimbang berlaku kejadian kepala air disebabkan hujan di kawasan bukit. – Bernama