Home Dunia 110 pelajar perempuan, Nigeria kerah usaha mencari

110 pelajar perempuan, Nigeria kerah usaha mencari

ABUJA – Kerajaan Nigeria mengesahkan seramai 110 orang pelajar perempuan hilang selepas militan Boko Haram menyerang sekolah di timur laut negara itu.

“Kerajaan Persekutuan mengesahkan 110 pelajar Kolej Sains dan Teknikal Kerajaan di Dapchi, di negeri Yobe, hilang, selepas militan dipercayai Boko Haram menceroboh sekolah mereka Isnin lalu,” menurut Kementerian Penerangan dalam satu kenyataan.

Kehilangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penculikan menimbulkan persoalan mengenai dakwaan berulang kali tentera bahawa militan di ambang kekalahan selepas hampir sembilan tahun bertempur.

Ia juga mengimbas kembali memori terhadap penculikan lebih 200 pelajar perempuan dari Chibok pada 2014 yang mengejutkan dunia.

Untuk rekod, pada malam Isnin lalu, pelajar yang ketakutan melarikan diri dari sekolah asrama apabila militan bersenjata berat berpakaian tentera dan serban menyerang bandar itu, sambil melaungkan ‘Allahu Akbar’. -Malaysiagazette