Mendiang T. Nhaveen
GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan kes empat remaja lelaki yang menghadapi pertuduhan membunuh mangsa buli T. Nhaveen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin bagi memindahkan kes itu.

Pada prosiding hari ini, Ibu Nhaveen turut hadir di mahkamah untuk mengikuti perkembangan kes bunuh anak lelakinya yang berumur 18 tahun ketika kejadian. Anggota keluarga keempat-empat tertuduh juga hadir.

Pada 19 Jun tahun lepas, empat remaja termasuk pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima pada masa itu, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Nhaveen.

J.Ragesuthen dan S.Gokulan,

masing-masing berusia 19 tahun, serta dua lagi remaja lelaki didakwa melakukan perbuatan tersebut secara bersama antara 11 malam dan 12 tengah malam berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor dekat sini pada 9 Jun tahun lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen di sini, Hakim Irwan Suainbon menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi empat remaja terbabit yang menghadapi pertuduhan mencederakan T. Preevin,19, yang merupakan rakan Nhaveen.

Irwan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul memberitahu mahkamah bahawa terdapat dokumen yang masih belum diterima pihak pendakwaan.

Kesemua tertuduh yang kini ditahan di Penjara Juvana Sungai Petani, didakwa mencederakan Preevin di tempat, masa dan tarikah yang sama mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Nhaveen, 18, cedera parah akibat dipukul sekumpulan remaja dalam kejadian di Jalan Kaki Bukit, dekat sini, sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur. Rakannya, Preevin dilaporkan turut dipukul oleh kumpulan yang sama menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

Peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon mewakili J.Ragesuthen dan S.Gokulan manakala peguam S.Yagoo mewakili kedua-dua juvana terbabit.

— BERNAMA