REMBAU – Pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Bertam yang kini ditukar nama SJKT Bandar Seri Sendayan merupakan antara sekolah tercantik dan terbaik di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ia membuktikan kepedulian kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menjaga kepentingan pendidikan kepada masyarakat India di negara ini.
Menurut Datuk Seri Najib Razak, ia juga sebahagian janji kerajaan BN yang sentiasa berpegang dengan prinsip dan falsafah sebagai sebuah parti yang mendokong dasar bersifat inklusif, adil progresif.
Katanya, itulah cara kerajaan BN di Negeri Sembilan selaras dengan falsafah yang dibawanya sebagai Pengerusi BN.
“Saya telah meninjau sendiri sekolah baharu ini yang mana reka bentuknya amat unik, canggih dan indah. Cuba cakap mana ada sekolah yang dilengkapi perpustakaan selesa dan moden, mana ada sekolah rendah atau kebangsaan yang dilengkapi auditorium melainkan sekolah ini?
“Saya juga diberitahu ada dewan, makmal komputer dan setiap bilik darjah dilengkapi reka bentuk yang unik. Saya bangga dengan pembinaan sekolah Tamil ini antara terbaik di negara ini oleh Syarikat Matrix Concept Sdn.Bhd.
“Jika sekolah ini terindah dan terbaik maka saya sangat yakin undi di sini pun mesti terbaik (PRU-14) nanti,” katanya dalam ucapan perasmiannya di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
Sekolah dua tingkat itu sudah mula beroperasi pada Januari tahun lepas dengan kapasiti 12 bilik darjah di atas tanah seluas 2.4 hektar dengan kos berjumlah RM9 juta dengan nilai tanah berjumlah RM8 juta oleh syarikat pemaju Matrix Concept.
Kata Najib, sekolah dengan nilai berjumlah keseluruhannya RM17 juta itu adalah demi kesejahteraan dan masa depan masyarakat India mengikut keperluan di kawasan tersebut seperti yang dikehendaki Menteri Besar.
Beliau juga berjanji sekolah dan kuil yang menjadi keperluan asas masyarakat di negara ini termasuk di Negeri Sembilan akan terus dipelihara kerajaan BN.
“Saya tahu bagi masyarakat India kuil dan sekolah dua aset penting maka BN tidak akan membiarkan sebarang aktiviti meroboh kuil di Negeri Sembilan juga.
“Seperti yang dikatakan MB negeri ini, jika tanah kuil apabila digazetkan nanti, mana-mana kuil di negeri ini tidak berani dirobohkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana individu luar.
“Keluhan sama diterima daripada penduduk di Langkawi semasa lawatan saya apabila seorang bekas pemimpin yang mentadbir negara selama 22 tahun merobohkan kuil di situ,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette.