Home Ekonomi Skim pelaburan khas ASB untuk ATM, PDRM

Skim pelaburan khas ASB untuk ATM, PDRM

PNB
Permodalan Nasional Bhd.

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menawarkan Skim Pelaburan Khas Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).

Skim Pelaburan Khas ASB yang ditawarkan Bank Muamalat itu menyediakan pakej pembiayaan untuk tempoh 5 dan 10 tahun bagi anggota dan veteran ATM dan 10 tahun bagi
PDRM.

SKim itu akan dilaancarkan esok untuk ATM dan 25 Mac untuk PDRM, sempena ulang tahun pasukan itu.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, menerusi skim ini, warga ATM dan PDRM boleh melabur dalam ASB dengan membayar ansuran bulanan tetap yang berpatutan kepada Bank Muamalat.

Pendekatan itu merupakan satu kaedah forced saving (simpanan paksaan) yang kita yakin mampu membantu mereka untuk mempunyai tabungan kukuh dalam ASB.

“Dengan kaedah forced saving ini, pelabur dapat membentuk disiplin pelaburan berkala yang lebih berkesan untuk jangka panjang, seterusnya menikmati manfaat pengembangan pelaburan daripada kuasa faedah kompaun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, agihan pendapatan tahunan ASB yang diperoleh pelabur tidak boleh dikeluarkan sehingga tamat tempoh pembiayaan.

Bagi memastikan pelabur tidak berasa terbeban, jumlah ansuran bulanan yang dikenakan adalah tidak melebihi 10 peratus daripada gaji kasar mereka.

Ini kerana menerusi skim khas itu, jika pelabur mengambil kemudahan pembiayaan sebanyak RM70,000.00, mereka hanya perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM218.00 untuk
tempoh 10 tahun.

Berdasarkan andaian pulangan purata tahunan ASB 7 peratus, pelabur akan mempunyai jumlah tabungan terkumpul antara RM55,000 hingga RM58,000 pada akhir tempoh pembiayaan.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, anggota dan veteran ATM boleh melabur dengan modal serendah RM2,000 bagi pembiayaan 14,000 unit saham amanah sehingga maksimum RM20,000 bagi pembiayaan 140,000 unit saham amanah.

Menurut beliau, skim pembiayaan khas ini merupakan inisiatif, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menggalakkan budaya menabung dan pengurusan kewangan yang baik dalam kalangan warga ATM.

Sebagai permulaan, ATM menyasarkan seramai lebih 40,000 anggota serta veteran ATM akan melanggan skim ini untuk tahun 2018.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, seramai lebih 20,000 ahli akan melanggan skim ini untuk tahun 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast