Seorang broker jualan kenderaan bergelar Datuk, yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek kerajaan bernilai jutaan ringgit, dibebaskan hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan disyaki terlibat dalam menerima wang berjumlah RM19 juta didakwa rasuah dalam projek mega terowong dasar laut bernilai 6.3 bilion di Pulau Pinang berjaya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.

Suspek berusia 37 tahun itu disyaki menerima wang itu daripada sebuah syarikat pembinaan utama projek itu sebagai tindakan menutup kes siasatan terowong projek dasar laut itu.

Suspek dikatakan mengambil wang itu setelah dikatakan mampu menyelesaikan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Menurut sumber, syarikat berkenaan membayar wang RM19 juta itu kepada suspek secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.

“SPRM menjalankan siasatan terhadap kajian projek mega di Pulau Pinang itu dan suspek berkemungkinan menyakinkan syarikat pembinaan utama itu bahawa dia mampu menutup dan menyelesaikan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

“Pembayaran sebanyak RM19 juta sudah dilakukan dengan pembayaran pertama sebanyak RM2 juta pada Julai tahun lalu di rumah suspek itu sendiri.

“Bayaran kedua melibatkan RM15 juta pula dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan sama dengan disusuli pembayaran ketiga dan terakhir pada Ogos lalu,” kata satu kenyataan SPRM hari ini.

Suspek difahamkan telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya jam 3.48 petang tadi.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, mengesahkan penahanan suspek itu.

Kata beliau, pasukan penyiasat SPRM masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan tersebut.

“Suspek akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman esok,” tegasnya.

Projek mega melibatkan kerajaan negeri pentadbiran DAP itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.- MalaysiaGazette