Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menempelak dua pemimpin MCA yang cuba mempertahankan jutawan gula, Tan Sri Robert selepas dikritik oleh beliau.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu secara sinis berkata, beliau tidak kisah dengan apa yang disuarakan Setiausaha Agung MCA, Ong Ka Chuan dan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Malah beliau menegaskan, kedua mereka itu tidak perlu mengajar dirinya dan seolah-olah menunjukkan pandai kepada masyarakat.

“Kenyataan yang dikeluarkan Ka Chuan adalah bodoh. Saya hanya Menteri Pelancongan dan bukannya Menteri Dalam Negeri. Jadi saya mana ada hak untuk lucut warganegara Kuok. Baca betul- betul kenyataan saya.

“Lian Ker siapa pula? Beliau pun pernah kalah dalam pemilihan MCA dan bukan siapa-siapa pun. Kenyataan beliau sebenarnya tidak mewakili mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Senegal dalam sektor pelancongan di Wow KL di sini hari ini.

Mohamed Nazri menambah, sebagai pemimpin Melayu, beliau terguris dengan kenyataan bahawa Kuok ingin menjatuhkan kerajaan pimpinan Melayu.

Malah tegasnya, kenyataan itu tidak dinafikan awal oleh individu paling kaya di Malaysia itu menyebabkan timbul rasa tidak senang dalam kalangan ahli UMNO.

Beliau di minta mengulas kenyataan Ka Chuan semalam yang memberi amaran bahawa serangan terhadap Kuok boleh menyebabkan hubungan kaum keruh.

Ka Chuan berkata, Nazri tidak berhak menuntut mana-mana rakyat Malaysia menyerahkan kewarganegaraan mereka kerana beliau tiada mempunyai kuasa melakukannya.

Beliau menegaskan, Kuok bukan sekadar ahli perniagaan yang berjaya, tetapi individu yang berjasa kepada negara.

Sementara itu, Lian Ker pula berkata, Mohamed Nazri tidak wajar memanggil Kuok sebagai “pondan” kerana ahli perniagaan hartawan itu adalah ikon kepada rakyat Malaysia.

Lian Ker berkata, serangan Nazri ke atas hartawan yang berpangkalan di Hong Kong tidak selari dengan budaya Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast