Home Nasional Polis kumpul data pesalah tegar

Polis kumpul data pesalah tegar

Noor Rashid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengumpul data dan rekod semua pesalah trafik berulang di negara ini untuk mencadangkan tindakan lebih tegas bagi menjamin keselamatan pengguna di atas jalan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, proses mengumpul rekod para pesalah trafik berulang itu sedang dipergiatkan polis.

“Kita akan mengenalpasti dan mengumpulkan semua data dan maklumat mengenai pesalah trafik berulang dan akan menghantar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kita mahu mencari kaedah terbaik untuk menghukum serta mendidikan pesalah tegar berkenaan bagi mengelak sebarang kesalahan yang mengundang kepada kemalangan parah atau maut melibatkan pengguna jalan raya.

“JPJ ada melaksanakan sistem pemberian mata demerit di bawah Sistem Kesedaran Automatik (Awas) dibawah enam kesalahan utama yang dilakukan pengguna jalan raya.

“”Kita menggunakan data pesalah berulang ini akan bekerjasama dengan JPJ untuk mengenakan tindakan lebih tegas termasuk kaedah mendidik  menerusi pembelajaran semula latihan sekolah lesen memandu,” katanya dalam sidang media di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman hari ini.

Beliau menyempurnakan Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik OP Selamat 12 sempena Tahun Baru Cina 2018 di sini.

Dalam sidang media yang sama beliau turut menjelaskan, pihaknya turut menempatkan polis dibawah unit siasatan lebuhraya yang akan memantau segala insiden melibatkan pengguna jalan dan lebuh raya dan menyampaikan maklumat kepada bilik operasi untuk tindakan lanjut.

Katanya, PLUS Malaysia Berhad telah menyediakan 11 bilik operasi bagi tujuan itu kepada anggota polis untuk melicinkan operasi penguatkuasaan mereka.

Dalam perkembangan berkaitan beliau turut memberitahu penunggang dan pembonceng motosikal adalah penyumbang utama kematian tertinggi iaitu 150 kes kematian diikuti motokar sebanyak 46 kematian sepanjang OP Selamat 12 yang dilaksanakan pihaknya bermula 9 Februari hingga 23 Februari lalu.

“Secara keseluruhannya jumlah kematian sepanjag OP Selamat 12 telah menurun sebanyak 31 kes atau 12.1 peratus iaitu sebanyak 226 kes kematian direkodkan berbanding 257 pada Op Selamat 10 2017.

“Justeru dalam usaha memerangi aktiviti lumba haram, polis dalam operasi terbaharu di Seberang Perai Tengah (SPT) telah menahan seramai 43 orang pelumba haram dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga boleh membawa kemalangan.

“Kami juga megingatkan penganjur lumba haram juga bakal berdepan tindakan jika mengulangi perbuatan itu,” tegas beliau. – MalaysiaGazette