Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ijtimak Majlis Perundingan Islam di Studio Al-Hijrah, Cyberjaya. foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2018

CYBERJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan Kementerian Pendidikan tidak sewenang-wenangnya mengubah dasar pendidikan setiap kali bertukar menteri.

Katanya, beliau melihat berlaku ketidaktentuan dalam sistem pendidikan sebelum ini setiap kali pertukaran menteri sehingga menyusahkan pelajar.

“Jangan biarkan murid bongkok (tulang belakang) sebelum usianya akibat daripada memikul bag yang terlalu berat dengan muatan buku. Sedangkan, buku itu tidak dibaca pun,” katanya ketika berucap melancar dan merasmi penutup Ijtimak Majlis Perundingan Islam Kebangsaan 2018 di Al-Hijrah Big Studio, di sini, hari ini.

Justeru, Ahmad Zahid menegaskan, Dasar Pendidikan harus dipatuhi, bukan dijadikan bahan kajian yang menyusahkan murid dan ibu bapa.

“Kecacamarbaan (kepelbagaian) berlaku dalam bidang pendidikan kerana melayan perbezaan fahaman,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh mengenai gejala sosial yang dilihat berada dalam tahap membimbangkan.

Ujar beliau, sebanyak 58 peratus daripada banduan yang sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara adalah mereka yang terlibat dengan dadah.

“Adakah ini satu kebertanggungjawaban satu pihak atau masyarakat keseluruhannya? Kaedah penyelesaian bagaimana untuk mengatasi masalah ini perlu dicari.

“Sebab itu, Ijtimak Majlis Perundingan Islam Kebangsaan 2018 ini penting diadakan. Tujuannya untuk mereka mencari jalan penyelesaian dan mewujudkan kebersamaan kita berjemaah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast