Seorang pengunjung melihat lukisan berkenaan kehilangan MH370 yang terdapat di pameran semperna memperingati tahun ke tiga kehilangan pesawat MH370 di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2017.

PUTRAJAYA – Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 sudah meliputi kawasan seluas 8,200 kilometer persegi namun belum menemui apa-apa, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Misi pencarian semakin rancak dan ia berjalan dengan baik,” katanya diminta mengulas perkembangan pencarian MH370 oleh syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited.

Pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dan kehilangan pesawat itu disifatkan sebagai antara yang paling menimbulkan misteri dalam sejarah penerbangan di dunia.

Operasi pencarian MH370 oleh Ocean Infinity adalah berdasarkan terma ‘no cure no fee’ iaitu pembayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat ditemukan dalam tempoh masa 90 hari.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini, Liow berkata dua pegawai Malaysia telah dihantar untuk menyertai misi pencarian tersebut dan seorang lagi pegawai pula akan dihantar minggu depan.

“Kami yakin pencarian akan dapat menemukan pesawat hilang itu,” katanya.

Sementara itu, Liow yang juga presiden MCA berkata parti itu akan berdepan dengan pelbagai cabaran menjelang pilihan raya umum ke-14 termasuk serangan dalaman dan luar terhadap parti itu.

“Namun pendirian MCA tegas iaitu terus mempertahankan keharmonian negara dan kepentingan masyarakat Cina,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.