Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka berdepan pelbagai fitnah dan tuduhan palsu yang dilemparkan pihak tertentu semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, namun ia mungkin tidak seburuk yang berlaku pada PRU 2013, kata bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Jangkaan itu, katanya berdasarkan situasi semasa dalam kalangan parti politik pembangkang yang berpecah dan tidak sependapat sesama mereka.

“Pada PRU13, pembangkang berkempen agresif dan all out (bersungguh-sungguh), dia punya kempen kepada anggota mereka untuk menang pilihan raya, dan sentimen rakyat ketika itu sangat bersemangat untuk mengundi, itu sebab rakyat Malaysia termasuk yang berada di luar negara boleh dikatakan semua balik dan datang awal ke pusat pengundian.”

“Tetapi pada masa itu parti pembangkang seperti DAP dan PAS bergabung, itulah situasinya kerana yang real hardcore adalah orang PAS terutama dalam kalangan akar umbi mereka tetapi kali ini berbeza, PAS tidak lagi bersama pakatan, jadi mungkin berlaku fitnah (terhadap SPR) tapi tidak seburuk PRU13,” katanya ketika ditemu bual Bernama sempena PRU14, di sini.

Beliau diminta mengulas sama ada SPR akan berdepan fitnah yang lebih teruk pada PRU kali ini berbanding PRU13 yang antaranya dituduh sengaja memutuskan bekalan elektrik ketika proses pengiraan undi dan membawa masuk 40,000 warga Bangladesh ke negara ini untuk mengundi.

Justeru, beliau amat menyokong usaha kerajaan untuk mewujudkan undang-undang bagi menangani penularan berita palsu yang disifatkannya boleh mengelakkan SPR dan PRU14 dicemari fitnah seperti yang berlaku pada 2013.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast