Home Nasional Amaran keras jual ubat batuk

Amaran keras jual ubat batuk

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan terhadap pengamal perubatan dan ahli farmasi berlesen yang menjual ubat batuk bukan untuk perubatan mengikut Akta Racun 1952.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa dan akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang ke atas semua premis-premis yang menjual ubat-ubatan dan produk kesihatan bagi memastikan penjualan tersebut mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Selain itu, kerjasama antara agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) juga akan dipertingkatkan bagi membanteras penjualan dan penggunaan ubat batuk bukan untuk tujuan perubatan, katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Dr Noor Hisham,Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjual ubat batuk bukan untuk tujuan perubatan di seluruh negara pada 22 Ogos 2017 berdasarkan aduan yang diterima.

Hasil daripada pemeriksaan, sebanyak 100,480 botol ubat batuk telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette