Home Nasional Lelaki cuba curi Ferari Sultan Johor direman

Lelaki cuba curi Ferari Sultan Johor direman

JOHOR BARU – Seorang lelaki direman empat hari untuk siasatan kerana didakwa mencuri kereta Ferari milik Sultan Johor di Istana Bukit Serene, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, polis masih menyoal suspek dan kertas siasatan akan kemukakan untuk tindakan selanjutnya.

Pemeriksaan awal mendedahkan suspek yang berasal dari Gelang Patah itu positif methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah mencuri dan kesalahan dadah.

Suspek dilaporkan telah memasuki pintu masuk utama istana di Jalan Straits View yang dikawal oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF), sebelum menuju ke garaj yang menempatkan kereta tersebut.

Semasa berada di garaj, seorang kakitangan istana terlihat kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan masuk ke dalam kereta Ferrari warna biru sebelum kakitangan terbabit dengan segera menarik kunci kereta tersebut.

Suspek kemudian berjalan ke keretanya dan memecut kenderaannya melalui laluan sama.

Suspek diberkas beberapa jam selepas polis menerima laporan. – MalaysiaGazette