Datuk Mazlan Mansor
Datuk Mazlan Mansor

SHAH ALAM – Lelaki yang mati ditembak di perhentian Bas berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Sri Serdang dekat sini Khamis lepas meruakan anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan awal menunjukkan kejaidan itu mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Serdang yang membabitkan anggota kumpulan terbabit.

“Hasil siasatan menunjukkan mangsa dan juga suspek yang menembaknya merupakan anggota kumpulan kongsi gelap yang mana mereka ini dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran.

“Bagaimanapun masih terlalu awal untuk kita rumuskan motif kejadian sebenar kes ini…kita akan siasat daripada pelbagai sudut dan motif sebenar akan kita ketahui selepas tangkapan dibuat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau latihan amal pilihan raya umum bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 di hadapan bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu seorang daripada dua lelaki bermotor dikatakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa berusia 40-an yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah sehingga mengakibatkan mangsa terbunuh di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai latihan amal terbabit, Mazlan berkata, ia adalah latihan fasa kedua peringkat Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor menjelang PRU-14.

Katanya, seramai 16,000 anggota dan pengawai akan ditempatkan di semua daerah bagi memastikan kelancaran pilihan raya umum itu.

“Dengan kekuatan anggota ini, kita telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-14 kelak dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang PR-14,” katanya.-BERNAMA

Lelaki maut ditembak berhampiran sekolah