Scott McTominay.

MANCHESTER –  Bintang muda dan pemain tengah Manchester United, Scott McTominay akhirnya memilih Scotland untuk meneruskan karier bola sepak di peringkat antarabangsa.

BB melaporkan, pemain tengah produk akademi bola sepak Manchester United itu telah bertemu dengan Ketua Jurulatih Scotland, Alex McLeish di pusat latihan Manchester United, Carrington pada Khamis lalu sebelum memuktamatkan negara pilihannya.

Walaupun Gareth Southgate turut dilaporkan akan bertemu dengan pemain berusia 21 tahun ini di lokasi yang sama pada hari berikutnya, laporan oleh BBC menyatakan pertemuan tersebut akhirnya tidak direalisasikan.

Pemain yang telah melakukan 19 penampilan termasuk empat penampilan di saingan Liga Juara-Juara untuk Manchester United ini adalah pemain kelahiran Lancaster, England.

Namun McTominay boleh membuat pilihan di antara England dan Scotland kerana ayahnya yang berketurunan Glasgow.

Nama McTominay mulai menyinar dan menjadi sebutan selepas Jose Mourinho kerap menurunkan pemain tersebut ketika pemain bintang seperti Paul Pogba direhatkan oleh pengendali dari Portugal tersebut.

Penampilan pertama bersama skuad utama Manchester United tiba pada Mei tahun lalu, dan nama McTominay sentiasa berada di dalam skuad utama Mourinho selepas itu.

McTominay mula menyertai Manchester United pada usia 5 tahun. Dia telah menandatangani kontrak baharu pada Oktober lalu, yang memastikan pemain ini terus kekal di Old Trafford sehingga 2021.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast