Ketua UMNO Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyampaikan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Keyakinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu kembali berkuasa pada 2027 perlu diterjemahkan sebagai arahan kepada seluruh parti untuk bekerja lebih keras, bukan alasan untuk berasa selesa.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, amanat yang disampaikan Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 semalam itu memberi hala tuju jelas kepada parti.

Katanya, ini termasuk kepada UMNO Kedah yang perlu memperkemas kekuatan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, sasaran untuk kembali berkuasa tidak akan tercapai hanya dengan keyakinan pemimpin, sebaliknya memerlukan kerja keras serta keberanian mengakui dan memperbaiki kelemahan di setiap peringkat.

“Bila Presiden sudah letakkan keyakinan bahawa UMNO dan BN mampu kembali berkuasa pada 2027, jangan kita anggap itu sebagai lesen untuk duduk selesa. Sebaliknya, itu mesti kita terima sebagai arahan untuk seluruh parti bekerja lebih keras,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah sedar perjalanan untuk mengembalikan pengaruh parti di negeri itu bukan mudah dan memerlukan usaha berterusan bagi membina semula kepercayaan rakyat.

Menurutnya, parti perlu berani melihat kelemahan sendiri, termasuk memahami sebab sebahagian pengundi menjauhkan diri daripada UMNO, sebelum merangka pendekatan yang lebih berkesan.

“Bagi UMNO Kedah, jalan untuk kembali bukan mudah. Kita mesti berani mengakui kelemahan, membina semula kepercayaan rakyat dan menawarkan politik yang lebih dekat dengan persoalan kehidupan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan UMNO Kedah selepas PAU 2026 tidak boleh sekadar berkisar mengenai persiapan pilihan raya, sebaliknya parti perlu kembali memperkukuh hubungan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

Katanya lagi, rakyat perlu merasakan kehadiran UMNO dalam kehidupan seharian dan bukan hanya ketika parti memerlukan sokongan mereka.

“Kita tidak boleh tunggu pilihan raya baru hendak turun kepada rakyat. Kita mesti berada bersama mereka dari sekarang, dengar masalah mereka dan faham apa yang mereka perlukan,” jelasnya.

Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah juga perlu mengambil serius mesej Ahmad Zahid supaya parti kembali mempunyai keyakinan terhadap kekuatan sendiri.

Menurutnya, pengalaman dan struktur organisasi UMNO yang masih kukuh perlu dimanfaatkan untuk menyusun semula jentera serta memperluas pendekatan kepada kelompok pengundi yang sebelum ini semakin menjauh.

“Kita ada struktur, kita ada akar umbi dan kita ada pengalaman. Tetapi semua itu tidak bermakna kalau kita tidak bergerak. PAU sudah memberikan keyakinan dan hala tuju, sekarang tanggungjawab kita ialah membuktikannya melalui kerja,” tegasnya.

Beliau berkata, UMNO Kedah juga perlu memberi perhatian kepada generasi muda yang mempunyai tuntutan serta keutamaan berbeza, terutama berkaitan pekerjaan, pendapatan, pendidikan dan peluang ekonomi.

Tambahnya, parti perlu memastikan tawaran politiknya benar-benar menyentuh kehidupan rakyat dan tidak sekadar mengulang naratif lama.

“Rakyat mahu penyelesaian kepada masalah mereka. Jadi kita perlu bercakap tentang apa yang mereka hadapi setiap hari dan tunjukkan bagaimana UMNO boleh membantu menyelesaikannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, kekuatan UMNO dan BN menjelang PRU16 bergantung kepada kemampuan seluruh jentera bergerak dalam satu arah dan mengelakkan sikap terlalu selesa dengan perkembangan politik semasa.

Menurutnya, setiap peringkat kepimpinan perlu menganggap amanat Ahmad Zahid sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, bukannya sekadar kata-kata dalam perhimpunan.

“PAU 2026 sudah memberikan kita keyakinan dan hala tuju. Tanggungjawab selepas ini terletak pada kepimpinan serta jentera di setiap negeri untuk membuktikannya melalui kerja,” katanya.

Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah bersedia memperkemas gerak kerja parti dan membina semula hubungan dengan rakyat sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan sasaran yang digariskan Presiden.

Jelasnya, jika seluruh anggota mampu mengetepikan keselesaan, mengakui kelemahan dan bekerja secara konsisten, UMNO serta BN mempunyai ruang untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Presiden sudah tunjukkan keyakinan dan sasaran. Sekarang jangan kita hanya tepuk tangan. Kita perlu balik ke negeri, bahagian dan cawangan, bekerja dan buktikan bahawa keyakinan itu boleh menjadi kenyataan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here