LONDON – Kekalahan 2-1 kepada Brighton di dalam saingan Liga Perdana Inggeris semalam menyaksikan kali pertama Arsenal kalah empat perlawanan berturut-turut di dalam tempoh 16 tahun.

Kekalahan itu membuatkan tekanan semakin bertambah diterima pengurus, Arsene Wenger hingga kain rentang bertulis ‘Wenger Out’ mula kelihatan.

Namun di sebalik kempen ‘Wenger Out’ di kalangan penyokong Arsenal, pemilik Everton, Farhad Moshiri mempunyai pendapat yang berbeza mengenai kebolehan pengurus berbangsa Perancis itu.

Moshiri berpendapat bahawa Wenger adalah calon paling sesuai untuk mengubah nasib kelab Merseyside itu pada masa hadapan.

Namun bagi jutawan Iran, pengendali kelahiran Perancis itu adalah calon terbaik untuk menggantikan Sam Allardyce yang tampil membantu Everton selepas pada musim lalu mengumumkan persaraan daripada pengurusan.

Ketika ditanya oleh wartawan sama ada beliau risaukan kedudukan di Emirates, Wenger berkata:

“Saya tidak mahu bercakap mengenai masa depan saya sekarang. Buat masa sekarang, masa hadapan saya bukan perkara yang perlu dirisaukan.”

“Kerisauan utama saya ialah bagaimana untuk mengembalikan Arsenal ke landasan kemenangan. Kemudian kita akan memikirkan langkah seterusnya. Saya akan memberikan sehabis baik, selagi saya berada di sini,” katanya yang berusia 68 tahun selepas perlawanan berakhir. – MalaysiaGazette