Nemanja Matic. Foto Talksport.

LONDON – Nemanja Matic muncul penyelamat buat Manchester United apabila sepakan lencong pemain tengah Serbia itu memberikan kemenangan dramatik 3-2 di Crystal Palace, awal pagi.

Anak buah Jose Mourinho ketinggalan 0-2 hasil jaringan awal Andros Townsend dan Patrick van Aanholt pada babak kedua di Selhurst Park.

Namun Chris Smalling mula mencetus kebangkitan memberikan satu gol buat United dan Romelu Lukaku menyamakan kedudukan berbaki 14 minit permainan.

Ia memberikan Matic jaringan buat pertama kali sejak berpindah dari Chelsea tahun lalu dengan sepakan kencang dalam kotak penalti pada penghujung perlawanan.

Ia adalah keputusan yang hebat ketika United ketinggalan 0-2 selepas gagal mengatasi dominasi Palace yang bertarung untuk mengelak penyingkiran.

Begitupun Mourinho pastinya gembira dengan apa dilakukan pemainnya selepas permulaan yang buruk untuk kembali berada di atas Liverpool ke tangga kedua Liga Perdana dan 16 mata di belakang pendahulu Manchester City. – MalaysiaGazette