Maria Chin

KUALA LUMPUR – Aktivis politik Maria Chin Abdullah, yang mengesahkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersih 2.0, akan hanya bertanding bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tidak boleh kurang daripada MP (anggota Parlimen). Kalau di peringkat negeri, bagaimana hendak membuat desakan untuk perubahan dalam sistem dan agenda pilihan raya?” tanya beliau.

Chin berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding sekiranya ditawarkan kawasan bagi kerusi negeri, bukan Parlimen.

Turut hadir, bekas Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan.

Chin berkata beliau berharap, dengan menjadi Anggota Parlimen, beliau boleh mendesak agar agenda perubahan dilaksanakan serta mengubah naratif di Parlimen dengan perbahasan berkualiti tinggi.

Menurut aktivis politik itu, beliau menawarkan diri menjadi calon bebas kepada Pakatan Harapan untuk bertanding pada PRU14 dan parti gabungan itu menyambut baik penyertaannya serta berjanji akan memberi sokongan kepadanya dalam apa jua cara yang mereka mampu.- BERNAMA