Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Inisiatif Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 akan mendorong rangkaian perniagaan di negara ini untuk menurunkan harga barangan yang dijual, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ia dilihat sebagai persaingan positif dalam bidang peruncitan dan dalam masa sama menawarkan pelbagai barangan keperluan rakyat.

“Dalam penstrukturan KR1M kepada KR1M 2.0, tiga model perniagaan diperkenalkan iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar; operasi perniagaan kendalian pemilik dan penjenamaan bersama.

“KR1M mempunyai tiga fasa pelaksanaan iaitu pasar raya, kedai serbaneka dan cawangan peruncitan bebas, justeru ia bersifat menyeluruh serta berupaya mencetuskan impak positif bagi menangani peningkatan kos sara hidup,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) mengenai strategi memastikan harga barangan dijual lebih rendah daripada harga pasaran dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

KR1M 2.0 yang dilancarkan bulan lepas adalah langkah penjenamaan semula daripada program KR1M yang diperkenalkan melalui inisiatif pihak swasta yang dibantu kerajaan sejak 2011.

Ia memperkenalkan model baharu yang lebih terbuka, berdaya saing dan memberi peluang untuk lebih ramai peniaga runcit menyertainya.- BERNAMA