Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) bercakap pada sidang media selepas Wacana Sinar Harian bertajuk 'Fitnah Media Sosial Jadi Senjata Politik' di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Kekalahan UMNO di Selangor sejak dua penggal lalu akibat krisis dalaman atau   ‘cah keting’ sesama sendiri dan kali ini masalah berkenaan sudah banyak berubah.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos, kalau ada lagi masalah itu hanya sekitar 20 peratus sahaja dan dijangka selesai sepenuhnya dalam masa terdekat.

Solidariti ditunjukkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) diyakini mampu merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), katanya.

“Krisis yang berlaku dalam Selangor ini sebelum ini berlaku perebutan kerusi-kerusi ini telah pun berada di tahap meredakan sehingga 20 peratus lagi.

“Insya-Allah dalam waktu dua hingga tiga minggu ini, krisis ini akan dapat ditangani dan sejarah PRU-13 tidak akan berulang lagi di Selangor,” katanya pada sidang media selepas Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Fitnah Media Sosial Jadi Senjata Politik’ di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (dua kiri) pada Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Fitnah Media Sosial Jadi Senjata Politik’ di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam yang melahirkan kebimbangan terhadap krisis dalaman UMNO dengan penyakit ‘saling kerat sesama sendiri’ dan ‘tembak di kaki sendiri’ menjadi punca kekalahan parti itu pada PRU-13.

Jamal seterusnya berkeyakinan krisis dalaman itu bukan lagi ancaman kepada UMNO bahkan semua pemimpin bahagian dan cawangan parti itu di Selangor kini lebih terbuka demi kepentingan parti.

“Insya-Allah perpaduan dan keterbukaan pemimpin-pemimpin UMNO dalam Selangor kali ini lebih lagi mementingkan perjuangan parti daripada kepentingan peribadi sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast