Menara Exchange 106 yang sedang dibangunkan di Tun Razak Exchange.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan diperbadankan (MOF Inc) mengesahkan terlibat bersama-sama membangunkan Menara Exchange 106 di Tun Razak Exchange.

Kenyataan yang dikeluarkan MOF Inc itu sekaligus menamatkan spekulasi pembabitkan Kementerian Kewangan dalam projek tersebut.

Dalam kenyataan itu, MOF Inc berkata, projek pembangunan itu adalah melalui anak syarikatnya, MKD Signature Sdn. Bhd. (MKD) yang menguasai 51 peratus dalam Mulia Property Development Sdn Bhd (Mulia) pada Julai tahun lalu.

Mulia Property Development Sdn Bhd (Mulia) adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di Malaysia mempunyai modal saham berbayar sebanyak RM500,000 dan dimiliki secara bersama oleh The Mulia Group (49%) dan MKD (51%).

Projek pembangunan itu dijangka siap sepenuhnya pada separuh pertama 2018.

Kos pembangunan Menara TRX akan ditanggung oleh kedua-dua pemegang saham berdasarkan penguasaan saham masing-masing berdasarkan kos asal pembangunan.

Katanya, Bank HSBC akan membiayai kos pembinaan sebanyak 51 peratus tanpa premium tambahan oleh syarikat bersama.

Mulia Property Development Sdn Bhd membeli tanah TRX seluas 3.42 ekar pada harga RM665 juta daripada TRX City Sdn Bhd pada Mei 2015.

Jualan tanah TRX ke Mulia telah dilakukan secara komersil tanpa diskaun.

“Penyertaan MOF Inc dalam pembangunan Menara TRX telah dipersetujui dan hanya menjadi kenyataan apabila projek itu telah mencapai tahap pembangunan tertentu.

“Lokasi strategik Menara TRX dan sifat pembangunan yang ikonik memberi dorongan kuat untuk MOF Inc untuk turut serta dalam pembangunan dan pengurusan menara.

“Dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM40 bilion bagi keseluruhan kawasan pembangunan TRX, maka adalah penting bagi MOF Inc untuk memastikan ia menjamin satu lagi kedudukan strategik dalam kemajuan dan kejayaan pembangunan d kawasan tersebut,” kata MOF Inc.

Menara TRX seluas 2.8 juta kaki persegi, ia bakal menjadi bangunan ke-15 tertinggi di dunia pada masa ia siap nanti. – MalaysiaGazette