Mohd Hashim Abdullah

KUALA LUMPUR – Kesiapsiagaan petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara kini berada di tahap 100 peratus bagi memastikan kelancaran perjalanan proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, kesiapsiagaan itu meliputi tenaga kerja dan logisitik kelengkapan yang diperlukan selain diperkuatkan dengan latihan, kursus dan penerangan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Sebenarnya, persiapan kita untuk adakan PRU ini telah dilakukan sejak dua tahun lepas. Kita telah persiapkan petugas-petugas di tempat mengundi dan pengiraan undi di seluruh negara,” katanya kepada Bernama sewaktu menjadi tetamu di Program Ruang Bicara, Bernama News Channel, malam tadi.

Beliau berkata, dijangkakan seramai 250,000 petugas melibatkan SPR dan anggota keselamatan serta pertahanan negara akan terlibat dalam PRU kali ini.

Mohd Hashim berkata, pihaknya juga telah bersiap siaga dari segi kelengkapan untuk PRU14 ini termasuk dari segi kemudahan lebih selesa kepada orang kelainan upaya (OKU) seperti memberi bantuan ke tempat mengundi, kemudahan kerusi roda bagi pemilih uzur atau kurang upaya.

Menyentuh mengenai bekalan dakwat kekal, beliau berkata ia telah ditempah awal dan hanya menunggu detik PRU14 sebelum dihantar pembekal untuk digunakan.

Mengulas mengenai kempen pilihan raya, Mohd Hashim berkata, 11 hari adalah waktu minimum untuk berkempen dan pihaknya akan mengkaji kepentingan sama ada ini perlu dilanjutkan.

Mohd Hashim juga optimis, pihaknya akan dapat mengendalikan perjalanan PRU dengan cara terbaik, telus, ikhlas dan bersih mengikut peraturan undang-undang yang ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa SPR adalah institusi bebas dan tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast