KUALA LUMPUR – Janji ‘palsu’ dan retorik pilihan raya sejak 2012 oleh kerajaan Negeri Selangor dalam pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Coalfields bukan sahaja mengecewakan masyarakat India, malah mereka juga rasa tertipu.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan Negeri Selangor turut berjanji mahu membina sekolah berasrama penuh yang pertama untuk pelajar India dengan peruntukan sebanyak RM7 juta juga merupakan gimik politik.
Ketua Penerangan Pemuda MIC Kebangsaan, Punithan Paramsiven berkata, apa yang lebih mengejutkan, peruntukan sebanyak RM4 juta yang diumumkan bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2014 bagi pembinaan SJKT Coalfields dengan 18 bilik darjah dengan kapasiti murid sebanyak 800 orang turut diumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Bajet 2017.
jNamun elas Punithan, pengumuman Menteri Besar Selangor itu hanya membabitkan pembinaan enam bilik darjah sahaja pada Belanjawan 2017 tahun lalu.
“Dari 18 bilik darjah mereka sudah kurangkan sehingga enam bilik darjah tetapi bajet masih sama. Dari 2012, hanya pada 2017 pembinaan sekolah itu dimulakan dan dianggarkan ia akan mengambil masa sehingga dua tahun.
“Pada 21 Jun 2014, Khalid Ibrahim sekali lagi telah membuat pengumuman kerajaan negeri akan membina sebuah sekolah berasarama penuh Tamil untuk anak-anak peladang Desa Coalfields serba canggih dan moden dalam sejarah dengan bajet RM7 juta bagaimanapun hanya tinggal janji sehingga kini.
“Selepas Azmin ambil alih, rancangan untuk membina sebuah sekolah asrama Tamil ditukar lokasi iaitu bersebelahan SJKT Tamil Midlands di Seksyen 7, Shah Alam dan bukannya bersebelahan SJKT Coalfields seperti yang dijanjikan. Impian masyarkat India terutamanya anak-anak peladang hanya tinggal janji,” katanya.
Punithan berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.
Tambah Punithan, tindakan kerajaan negeri Selangor, terutama pucuk pimpinan tertinggi seperti Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin seolah ‘mengula-gulakan masyarakat India menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
“Semua hanya sekadar janji dan syok sendiri. Mengapa sehingga hari ini kita tidak nampak apa-apa yang konkrit? Sampai bila? Janji terbaru pada Belanjawan 2017, sudah tentu mereka akan berjanji memandangkan undi masyarakat India penting pada PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa. Mereka ingat kita ‘bola’ boleh tendang sesuka hati.
“Kita beri tempoh sehingga 72 jam dari sekarang supaya jawab 11 persoalan yang telah dibangkitkan oleh kami, antaranya siapakah kontraktor awal yang telah membuat pelan, kenapa tanah belum diwartakan tetapi kerja-kerja cerucuk sudah dijalankan?, mengapa tukar dari 18 bilik darjah ke enam bilik? Siapa yang putuskan begitu?
“Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya telah menyumbangkan RM6 juta manakala pemaju telah memberikan dana sebanyak RM1 juta untuk pembinaan asrama anak-anak peladang Desa Coalfields, apa yang terjadi dengan wang sebanyak RM7 juta itu. Banyak lagi persoalan, tolong jawab,” tegasnya.
Dalam pada itu, Punithan juga mendesak bekas Exco Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Xavier Jayakumar untuk menjawab isu itu.
“Lagipun ini juga melibatkan kepentingan masyarakat India di Selangor terutamanya nasib pekerja ladang dan anak-anak mereka. Mohon sedikit pencerahan kerana setahu kami anda tahu dan sedia maklum tentang persoalan kami.
“Kerajaan Negeri Selangor dilihat seringkali ‘berbangga’ dan ‘angkat bakul sendiri’ dengan membuat pelbagai pengumuman retorik manun tidak pernah mengotakan janji-janji itu.
“Isu pembinaan SJKT Ladang Coalfields di Ijok, Kuala Selangor dan asrama anak-anak peladang Desa Coalfields sudah berlarutan sejak 2012 namun kerajaan Pakatan Harapan masih lagi terkial-kial mengotakan janji tersebut,” ujarnya.
SJKT Coalfields yang ditubuhkan pada 1928 menjadi ‘mangsa’ pelbagai janji kerajaan Negeri Selangor seperti berpindah ke tapak baru yang masih lagi menjadi tanda tanya. – Malaysiagazette