Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan sebahagian perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Majlis Penyampaian Anugerah Balai Polis Cemerlang MCPF 2018 di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur, Cheras. foto AFFAN FAUZI, 10 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan mencampuri urusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) khususnya melibatkan tindakan pembubaran  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Timbalan Perdana Menteri sebaliknya berkata, PPBM seharusnya akur terhadap permintaan RoS yang meminta mereka mengemukakan laporan penuh mesyuarat semua peringkat bagi mengelakkan ia dibubarkan.

“Pihak kepimpinan PPBM perlu mengemukakan laporan sepenuhnya daripada mesyuarat cawangan, bahagian hingga mesyuarat agung. Saya tidak berhasrat untuk campur tangan dalam soal pentadbiran dan keputusan RoS.

“PPBM harus memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan mereka sendiri dan Akta Pertubuhan 1966,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri itu mengulas notis pembubaran akan dikeluarkan terhadap PPBM jika parti itu gagal menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen yang dikehendaki RoS dalam tempoh 30 hari, berkuat kuasa 28 Februari lalu.

Ketua Pengarah RoS,  Surayati Ibrahim berkata, walaupun keperluan minimum menurut Seksyen 14(3) Akta Pertubuhan adalah tujuh hari bagi memberikan maklum balas, jabatan itu memberikan tempoh masa lebih panjang iaitu 30 hari.

Ahmad Zahid berkata, tindakan RoS terhadap PPBM itu dilakukan semata-mata berdasarkan aduan yang diterima jabatan itu daripada ahli-ahli parti itu.

“RoS hanya bertindak mengikut apa termaktub dalam perlembagaan PPBM demi kepentingan ahli-ahli parti mereka sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast