KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 40 penumpang terbunuh apabila sebuah pesawat milik US-Bangla Airlines terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA), Kathmandu petang ini, kata jurucakap polis Nepal, Manjo Neupane

Pesawat Bombardier Dash 8 Q400 dengan kapasiti 78 penumpang membawa 71 penumpang, termasuk empat krew itu berlepas dari Dhaka, Bangladesh. Pesawat tersebut terhempas pada pukul 2.18 petang waktu tempatan.

Neupane berkata, sebanyak 31 mayat telah dibawa keluar daripada pesawat malang itu dan sembilan diisytihar meninggal dunia di beberapa hospital, lapor Kathmandu Post.

Menurut jurucakap TIA, Prem Nath Thakurm, pesawat itu terbakar semasa mendarat dan terhempas di padang bola berhampiran lapangan terbang tersebut.

Terdahulu, Setiausaha Bersama Kementerian Pelancongan, Suresh Acharya berkata, seramai 25 penumpang mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

TIA berkata, terdapat 37 penumpang lelaki dan 27 penumpang perempuan serta dua kanak-kanak berada dalam pesawat itu.

Ketua Setiausaha Lembaga Penerbangan Awam Nepal, Sanjiv Gautnam berkata, pesawat tersebut hilang kawalan ketika mendarat.

“Pesawat itu dibenarkan mendarat dari sebelah selatan landasan tetapi ia mendarat dari bahagian utara,” kata Gautnam yang mengsyaki ia mungkin mengalami masalah teknikal.

“Kami masih tidak pasti faktor di sebalik pendaratan luar biasa ini,”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast