WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memecat Setiausaha Negara, Rex Tillerson berkuatkuasa serta merta hari ini.
Trump yang membuat keputusan kontroversi sejak menjadi pemimpin negara kuasa besar dunia itu mengisi kekosongan itu dengan melantik Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Mike Pompeo yang difahamkan sebagai diplomat setia pemimpin dunia itu.
Sebagai merakamkan penghargaan kepada Tillerson atas perkhidmatannya selama ini, Trump dalam akaun twitternya berkata Setiausaha negara yang baharu akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang.
Tillerson merupakan bekas Ketua Eksekutif syarikat minyak Exxonmobil,hanya dilantik ke jawatan tertinggi AS itu tahun lalu.
Trump turut mencalonkan Gina Haspel sebagai wanita pertama ke jawatan Pengarah CIA.
Bercakap kepada pemberita di luar White House, Trump berkata, Apabila melihat pendekatan yang diambil Tillerson dalam hal melibatkan Iran adalah berbeza.
“Ia tidak seperti apa yang saya kehendaki dan dia fikirkan yang lain. jadi kami tidak sehaluan daripada segi kerjasama pentadbiran.
“Dengan Mike Pompeo, kami ada beberapa keserasian dan saya merasakan ia akan memberi impak yang diharapkan selepas ini.
“Rex seorang insan yang baik dan saya sangat menyukainya,”katanya.
Sementara itu, Jabatan kerajaan AS dalam kenyataan berkata, Tillerson belum bercakap dengan Trump dan tidak menyedari tentang sebab disebalik pemecatannya secara mengejut.
Tillerson telah berada dalam lawatan rasmi ke Afrika minggu lalu dan dia tidak menyedari tentang pengumuman Trump bahawa pemimpin itu akan mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.
Pasukan Diplomat tertinggi AS berkata, Tillerson dilihat tidak sihat pada Sabtu lalu semasa meneruskan lawatan itu.- MalaysiaGazette