Home Ekonomi Subang Aerotech Park bakal tarik RM1b pelaburan

Subang Aerotech Park bakal tarik RM1b pelaburan

Datuk Badlisham Ghazali

KUALA LUMPUR-Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mensasarkan pelaburan sebanyak RM1 bilion dari dalam dan luar negara untuk Subang Aerotech Park.

Pelaburan itu juga diharapkan dapat membuka 5,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, kemudahan baharu yang terletak di tanah seluas tujuh ekar itu adalah inisiatif MAHB untuk menghidupkan semua eksostem aeroangkasa di Subang.

Ia merangkumi kilang pengeluaran dan kemudahan pejabat untuk kegunaan rangkaian bekalan global.

“Dengan anggaran 70 syarikat aeroangkasa yang sudah berada dalam ekosistem aeroangkasa Subang, kami menjangkakan Subang Aerotech Park akan memberikan platform yang lebih baik kepada rangkaian bekalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam sektor tersebut.

“Ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rangka Kerja Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara nombor satu dalam bidang aeroangkasa di Asia Tenggara.

“Kami turut menjangkakan perkembangan ini akan memberi kesan positif kepada kluster aeroangkasa dan penerbangan dalam pembangunan Aeropolis KLIA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kemudahan berkeluasan 178,000 kaki persegi ini dilengkapi dengan teknologi automasi terkini di dalam pengilangan aeroangkasa akan dibangunkan oleh Axis-REIT.

Tanah seluas tujuh ekar milik MAHB itu akan diserahkan kepada Axis-REIT untuk tempoh 49 tahun dan pembinaan kemudahan dijangka bermula pada separuh pertama tahun ini.

Projek akan diserahkan kepada Senior Aerospace UPECA menjelang hujung tahun ini.

Aerospace UPECA adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat Senior, sebuah firma pengeluar komponen dan system berteknologi tinggi antarabangsa. – MalaysiaGazette