KUALA LUMPUR – Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad ( Koperasi Tunas Muda) bakal membangunkan dua hartanah di Kedah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM850.9 juta.
Pengerusinya, Datuk Ir Mansor Musa berkata, dua projek tersebut adalah projek perumahan Tunas Homes di Sungai Petani dan pembangunan komersial Tunas Boulevard di Kulim Hi Tech Park.
Jelasnya, kerja-kerja pembinaan projek perumahan Tunas Homes yang melibatkan GDV RM522.9 juta akan bermula pada September tahun ini manakala projek Tunas Boulevard pada suku pertama 2019.
“Kedua-dua projek ini merupakan projek pertama kami di luar Pulau Pinang. Koperasi Tunas Muda memilih kedua-dua kawasan tersebut kerana berpotensi dan akan memberikan manfaat kepada penduduk di negeri Kedah.
“Dengan adanya projek di negeri Kedah, kami berharap perkembangan dan kejayaan koperasi ini akan lebih cepat dicapai terutama dalam industri pembinaan dan pembangunan hartanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Duta Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, selebriti popular, Rozita Che Wan atau Che Ta di Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Invest Kedah, Zafir Annuar Ghazali.
Mansor berkata, projek Tunas Homes melibatkan 67 unit banglo, 43 unit teres, 44 unit semi-d, 654 unit, pasar raya, sekolah dan taman rekreasi.
“Koperasi Tunas Muda menyasarkan golongan pembeli adalah dalam kalangan generasi muda yang mahu memiliki rumah pertama. Dengan tawaran harga rumah mampu milik, pelbagai kemudahan yang disediakan, kami optimis, projek ini akan menjadi pilihan utama mereka.
“Sebahagian besar unit kediaman di sini akan dijual kepada anggota koperasi dengan tawaran harga yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata, bagi projek Tunas Boulevard, Koperasi Tunas Muda akan membangunkan pusat komersial, hotel, servis apartmen, restoran, masjid dan dewan serbaguna untuk memberikan keselesaan kepada penduduk setempat.
Mengulas mengenai pelantikan Che Ta, Mansor berkata, pelakon dan pengacara itu merupakan anak jati Kedah yang berjaya dalam kariernya sebagai anak seni dan usahawan.
“Beliau merupakan ikon kepada masyarakat dan mempunyai ramai pengikut di laman sosialnya. Dengan pelantikan ini, kami berharap ia akan membantu memperkenalkan Koperasi Tunas Muda dan projek yang kami laksanakan,” katanya.
Sementara itu, Che Ta berkata, beliau berterima kasih kerana diberikan kepercayaan untuk menjadi duta Koperasi Tunas Muda dan menyokong usaha koperasi itu dalam bidang pembinaan dan hartanah di negeri Kedah.
Koperasi Tunas Muda diasaskan pada 1963 dan menjalankan lebih 20 projek pembangunan hartanah di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette