Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. foto MOHD SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2018.

PUTRAJAYA – Hampir 2.8 juta penduduk Selangor sebenarnya terkesan dengan gangguan bekalan air di negeri itu sejak 6 hingga 12 Mac lepas yang turut membabitkan 498 lokaliti di enam kawasan termasuk Petaling, Klang, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Lumpur.

Ketua Setiausaha  Kementerian Tenaga, Tek­nologi Hijau dan Air, Datuk  Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mendedahkan, kerja-kerja operasi dan penyenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Skim Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) memerlukan modal besar daripada segi penggantian peralatan mekanikal.

Jelas Zaini, kelewatan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) oleh kerajaan negeri Selangor sebenarnya telah menjejaskan kedudukan kewangan semasa konsesi tersebut sehingga tidak dapat menyediakan dana secukupnya bagi penyelenggaraan aset air.

“Kita juga difahamkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil tindakan perundangan ekoran kegagalan membayar bil elektrik berjumlah RM75 juta terhadap Splash baru-baru ini. Kita juga berdepan dengan risiko bekalan elektrik mungkin terjejas jika tiada tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Putrajaya berhubung krisis air dan impaknya kepada rakyat di sini hari ini.

Menurut Zaini, perubahan dasar kerajaan negeri sejak ambil tampuk pemerintahan pada tahun 2008 juga sebenarnya telah menjejaskan pelaksanaan beberapa projek bekalan air berimpak tinggi dan inisiatif penstrukturan semula industri air masih belum dapat dimuktamadkan sehingga kini.

“Kesannya, rakyat Selangor seolah-olah dinafikan hak untuk mendapat akses kepada bekalan air bersih yang disediakan hasil daripada pelaburan besar kerajaan Persekutuan.

“Salah satu projek yang terkesan ialah Loji Rawatn Air Langat 2 (LRAL2) yang bernilai RM3.7 bilion yang sepatutnya siap sepenuhnya pada 2017 namun kerana perubahan dasar kerajaan negeri menyebabkan projek itu hanya dapat di siapkan pada tahun 2022.

“Sekiranya penstrukuturan di segerakan, pelaburan mitigasi berjumlah RM800 juta bagi pembinaan Loji Semenyih 2 dan Labohan Dagang tidak perlu dilaksanakan,” tegasnya.

Zaini menambah, walaupun penstrukturan industri perkhidmatan air negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya masih belum selesai sepenuhnya, kerajaan Persekutuan telah melabur lebih daripada RM10 bilion sejak 2010 sehingga kini untuk menyediakan infrastruktur bekalan air di Selangor.

“Kita tetap komited untuk melihat penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan KL dan Putrajaya dapat dimuktamadkan dengan segera bagi menjamin perkhidmatan efisyen serta berkualiti untuk pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Zaini Ujang turut membidas langkah kerajaan Selangor yang membelanjakan lebih daripada RM14 juta sebulan untuk ‘Program 20 Meter Padu Air Percuma’ yang dilihat tidak menyumbang kepada kelestarian jangka panjang bekalan air di negeri tersebut selain daripada gagal menyasarkan golongan tepat.

“20 meter air percuma yang diberikan bersamaan nilainya dengan 20,000 liter, jika isi rumah lima orang makan penggunaan sebulan berjumlah 4,000 liter seorang dengan purata 133 liter sehari.

“Daripada penggunaan 234 liter dapat disumpulkan bahawa penggunaan bagi 133 liter sehari adalah percuma dan hanya penggunaan bagi 101 liter selepas itu dikenakan caj tanpa menira pendapatan isi rumah.

“Keadaan ini sekaligus memberi gambaran bahawa air di Selangor murah dan ini boleh menyebabkan pembaziran dalam segi penggunaan,” ujarnya.-MalaysiaGazette