Home Nasional KR1M 2.0 diperluas di pedalaman Sabah, Sarawak

KR1M 2.0 diperluas di pedalaman Sabah, Sarawak

Henry Sum Salleh (kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Suruhanjaya Koperasi Malaysia Tahun 2017 di Dewan Perdana, Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan perluaskan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 di seluruh kawasan terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Ia akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa tertentu selepas melantik pemborong, kata Timbalan Menteri, Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong.

“Di Sabah dan Sarawak pemborong itu kita sedang kenal pasti. Kita mahu tentukan pemborong di suatu tempat dahulu baru ia (barang) turun kepada peniaga-peniaga,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Henry berkata, KR1M 2.0 sangat berbeza dengan yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, langkah pelaksanaan mengambil kira proses yang bermula daripada pengilang kepada pemborong sebelum ia sampai kepada peruncit dan seterusnya pengguna.

Mengambil contoh sebuah syarikat pemborong TMG telah dilantik untuk membekal barang-barang di sekitar Semenanjung, ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Henry memberitahu, usul untuk meminda Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007) (Akta 502) belum lagi dibentangkan di Parlimen.

Tambahnya, langkah tersebut mungkin akan dilaksanakan sebelum sesi Dewan Rakyat berakhir minggu depan.

Pada majlis itu, seramai 101 kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Ia merupakan penghargaan ke atas usaha dan kegigihan warga kerja SKM yang telah menunjukkan mutu perkhidmatan yang cemerlang merangkumi pelbagai aspek. — MalaysiaGazette