KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor membidas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa polis yang bertanggungjawab mendorongnya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalannya.

Jelas Rahim, polis tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi kuasa Perdana Menteri dalam memecat mana-mana ahli politik khususny anggota kabinet.

“Saya tidak tahu kenapa dia berkata begitu dan saya tidak dapat selami pemikirannya. Polis tiada kuasa dari segi undang-undang untuk melakukan pemecatan kepada sesiapa pun,” katanya dipetik daripada Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu Tun M selaku Pengerusi Pakatan Harapan dilaporkan berkata demikian pada temu bual eksklusif bersama akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily keluaran Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, setiap pelantikan dan pelucutan jawatan Timbalan Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana ia hanya melalui cadangan Perdana Menteri de­ngan persetujuan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Pelantikan dan pemecatan seorang Timbalan Perdana Menteri bukan seperti memetik buah kelapa, semuanya dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu.

“Polis hanyalah sebuah jabatan kerajaan yang kuasanya tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Po­lis sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kuasa-kuasa polis dan apa yang boleh dilakukan oleh polis,” tambahnya.

Dakwaan Tun M itu turut diselar oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menyifatkannya sebagai individu yang tidak bertanggungjawab kerana menuding jari kepada pihak polis. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast