KUALA LUMPUR – Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin cuba membetulkan persepsi atau tanggapan orang ramai terhadapnya berhubung tindakannya meninggalkan UMNO.
Katanya, beliau tidak pernah keluar dari UMNO, sebaliknya keahliannya telah gugur secara automatik selepas membawa kes parti ke mahkamah.
“Saya tidak pernah keluar dari UMNO, tetapi keahlian saya gugur secara automatik selepas saya membawa hal parti ke mahkamah.
“Ketika itu saya percaya Datuk Seri Najib (Tun Razak) akan melepaskan jawatan (sebagai Perdana Menteri) dan kami semua kembali kepada UMNO termasuk Tun Dr Mahathir (Mohamad), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan lain-lain.
“Ia hanya perselisihan keluarga. Namun ianya terus menjadi cerai- berai dan saya diajak untuk mengasaskan PPBM sebagai parti Melayu baharu yang akan mengantikan UMNO,” katanya dalam soal jawab beliau dengan netizen menerusi akaun facebooknya hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan seorang netizen, yang bertanyakan perasaannya apabila meninggalkan UMNO untuk bersama PPBM dan di mana lagi jasa UMNO yang Anina nafikan.
Menurut Anina, ketika PPBM menerima DAP sebagai rakan gabungan, beliau mengakui tidak pernah gembira bekerjasama dengan parti itu.
“Saya hanya aktif selama tiga bulan dalam PPBM dan mengumumkan keluar parti sebulan kemudian selepas menimbang segalanya dengan teliti,” ujarnya.
Menjawab soalan netizen Sobri Ahmad yang bertanya jika Dr. Mahathir bertanding di mana-mana kawasan, adakah mantan Perdana Menteri itu boleh menang dan bangsa apa yang lebih banyak memberi undi kepadanya, Anina menjawab, tidak di semua kawasan (Dr. Mahathir) akan menang.
Bahkan, katanya, orang Cina juga ramai berdendam dengan Pengerusi PPBM itu.
Berhubung soalan netizen Fazdil Mokhtar yang bertanyakan apa jasanya dalam kerajaan, Anina yang berangan hendak memegang jawatan Ketua Srikandi PPBM memberitahu, beliau hanya marhaen biasa yang mengajar anak bangsa di universiti.
“Cukai pendapatan saya juga tidak seberapa. Saya cuma insan biasa seperti anda,” katanya mengakhiri sesi soal jawab bersama netizen. – MalaysiaGazette