Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membaca buku Manifesto Malaysia Sejahtera pada Majlis Syarahan Perdana sempena Pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera PRU-14 di Astana Banquet Hall, Cyberjaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2018.

CYBERJAYA – Pas mungkin menjadi ‘kingmaker’ atau pencatur utama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti yang dijangkakan penganalisis politik apabila parti itu bersedia menyertai mana-mana gabungan yang boleh menerima syarat dan perjuangan mereka.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, partinya hanya akan menjalinkan kerjasama dengan mereka yang boleh menerima konsep serta perjuangan parti itu selama ini.

“Kita tunggu siapa yang menang pada PRU nanti.

“Bagi Pakatan Harapan (PH), kita tengok dulu berapa kerusi yang mereka menang terlebih dahulu,” selorohnya.

Beliau berkata demikian selepas melancar Manifesto Gagasan Sejahtera yang menawarkan 20 tahun tawaran utama bagi menarik perhatian rakyat menyokongnya pada PRU akan datang.

Antara 20 tawaran itu ialah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan sistem percukaian seperti cukai atas simpanan korporat serta cukai saham di Bursa Saham.

Pas percaya kedua-dua cukai itu mampu menjana pendapatan sehingga RM51.5 bilion, mengatasi pendapatan jangkaan GST sebanyak RM39 bilion.

Pas juga berikar untuk menghapuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain mengembalikan sistem kuota di Institut Tinggi Awam (IPTA) bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin.

Selain itu, kandungan manifesto itu juga menjanjikan penstrukturan semula kadar bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebih 15 tahun.

Bahasa Melayu juga akan dijadikan bahasa penghantar bagi semua matapelajaran dalam sistem pendidikan negara selain daripada membantu kerajaan-kerajaan negeri membuka rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda.

Menurut Hadi Awang, kandungan manifesto ini akan diterima rakyat kerana rata-rata janji dalam manifesto terdahulu banyak telah ditunaikan terutamanya dalam pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

“Rakyat juga tahu apa yang telah kita lakukan di Terengganu selama satu penggal dan juga di Kedah. Kita mempunyai rekod yang mampu dinilai dengan mata sendiri oleh rakyat kita, manifesto serta janji kita juga untuk segenap lapisan dan bukan secara khusus untuk yang beragama Islam sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette