Home Uncategorized Skandal belanja, Presiden Mauritius letak jawatan

Skandal belanja, Presiden Mauritius letak jawatan

Ameenah Gurib-Fakim

PORT LOUIS – Presiden Mauritius, Ameenah Gurib-Fakim melepaskan jawatan susukan skandal penggunaan kad kredit bagi pembelian barangan mewah peribadi miliknya.

Ameenah yang menghantar surat peletakan jawatannya atas alasan ‘kepentingan negara’, menurut peguamnya, Yousouf Mohamed.

Peletakan jawatannya berkuatkuasa 23 Mac ini,

Ameenah sebelum ini berikrar akan melawan tuduhan yang pertama kali didedahkan menerusi akhbar tempatan L’Express.

Beliau didakwa menggunakan kad bank yang disediakan oleh badan bukan kerajaan, Institut Planet Bumi untuk membuat pembelian peribadi, termasuk barang kemas dan mewah bernilai sekurang-kurangnya 25,000 euro.

Perdana Menteri, Pravind Jugnauth mengumumkan minggu lalu bahawa Ameenah ​​telah bersetuju untuk mengundurkan diri selepas hari ulang tahun 50 tahun kemerdekaan Kepulauan Hindia itu.

Tetapi pada hari Rabu, satu kenyataan daripada presiden yang menafikan kenyataan Perdana Menteri, malah Ameenah berikrar akan membersihkan namanya dan tetap pertahankan jawatannya.

Ameenah, adalah ahli sains dan ahli biologi terkenal antarabangsa dan pada 2015 menyertai Institut Planet Bumi (PEI) yang berpusat di London untuk membangunkan keupayaan saintifik di Afrika.

Presiden itu berkata, pada Mei 2016, beliau menerima kad kredit dari PEI untuk membayar perbelanjaan perjalanan dan logistik yang dikaitkan dengan peranannya tetapi secara tidak sengaja menggunakannya untuk perbelanjaan peribadi yang tidak berkaitan.

Ameenah memaklumkan PEI bahawa dia akan membayar balik jumlah itu serta semua perbelanjaan yang dibayar oleh PEI untuk misi beliau.

Perkara itu disahkan oleh PEI, melalui satu kenyataan minggu ini bahawa Ameenah ​”tidak pernah menerima hadiah, bantuan, upah atau perbelanjaan daripada PEI, atau faedah atau kelebihan tidak wajar”.

Penyiasatan oleh L’Express bagaimanapun memperincikan pembelian komputer riba pada bulan September 2016, pakaian, kasut dan barang kemas pada bulan Oktober, lebih banyak barang kemas pada bulan November dan pakaian mewah pada bulan Disember.

Walau bagaimanapun, ia bukan sekadar perbelanjaan yang menimbulkan kemarahan di Mauritius, tetapi Presiden PEI, seorang jutawan Angola, Alvaro Sobrinho yang membantu penubuhan PEI yang sedang disiasat di Switzerland dan Portugal kerana disyaki melakukan penipuan. – MalaysiaGazette
.