Home Dunia Israel letup terowong Hamas

Israel letup terowong Hamas

BAITULMUQADDIS – Tentera Israel melancarkan serangan udara terhadap kemudahan bawah tanah Hamas di Semenanjung Gaza semalam.

Rejim itu telah memusnahkan sebuah terowong berasingan yang sedang dalam pembinaan, menggunakan teknologi baharu bagi mengesan anggota pergerakan Islam berkenaan.

Menurut jurucakap rasmi Hamas, Fawzy Barhoum berkata, tindakan pengganas Israel itu tidak bertanggungjawab dan menggesa Israel menanggung akibat yang dilakukan.

“Tindakan mereka ini seolah-olah cubaan untuk menakutkan semua rakyat Palestin untuk tunduk kepada mereka tetapi semangat juang dalam diri kami tidak akan sesekali menyebabkan kami kalah,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas letupan berhampiran sempadan Gaza dengan Tel Aviv sejak semalam.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus mendakwa, Hamas mula menggali terowong baru untuk menghubungkan dengan terowong lama, di selatan penempatan Palestin.

Difahamkan, terowong baharu itu tidak sampai ke kawasan Israel, namun hanya beberapa ratus meter berdekatan Kerem Shalom dan di kawasan bandar Rafah, Semanjung Gaza.

Bermula 30 Mac ini, rakyat Gaza pula merancang untuk mendirikan ratusan khemah berhampiran sempadan Israel selama enam minggu sebagai tanda sokongan mereka kepada pelarian Palestin.

Perdana Menteri Israel Benajmin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan berbuat apa sahaja terhadap apa-apa cubaan untuk menyerang mereka.

“Dasar kami adalah bertindak seandainya serangan di rancang terhadap kami. Kita akan memusnahkan infrastruktur terowong secara sistematik dan akan tetap teruskan,” tegasnya. – MalaysiaGazette