Home Nasional Bayar 50% elaun anggota polis sebelum PRU14

Bayar 50% elaun anggota polis sebelum PRU14

Sebahagian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membaca Ikrar PDRM pada Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Warga PDRM di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 20 MAC 2018

CHERAS – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan membayar elaun sebanyak 50 peratus kepada semua anggota polis yang akan bertugas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu harus dilakukan kerana prihatin terhadap kebajikan kakitangan yang akan meninggalkan keluarga masing-masing dalam tempoh yang lama.

“Saya telah arahkan agar PDRM membayar elaun kakitangan polis sebanyak 50 peratus sebelum mereka bergerak.

“Sekurangnya ada bekalan kepada anak, isteri dan keluarga,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi PDRM di Maktab PDRM hari ini.

Baki elaun tersebut perlu diselesaikan dalam masa 30 hari selepas berakhirnya PRU14.

“Dalam Islam, upah mestilah dibayar. Elaun mesti dibayar sebelum peluh kering. Jangan simpan duit itu, bayar awal. Saya lakukan ini kerana saya amat prihatin kepada PDRM,” katanya lagi.

PDRM akan menempatkan lebih 64,000 anggota dan pegawai di seluruh negara, bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya. – MalaysiaGazette.