KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas motosikal ditunggangi terlanggar pokok tumbang di Jalan Ampang di sini pada 5 Mac lepas disahkan meninggal dunia.

Menurut sumber HKL, Nor Azrul Ahmad, 37, meninggal dunia pada 5.15 pagi Jumaat lepas setelah 10 hari bertarung nyawa.

“Mangsa sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan baru beberapa hari dipindahkan ke wad biasa sehingga menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Ampang telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gombak, Selangor.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 pagi itu, Nor Azrul menaiki sebuah motosikal bersama rakannya, Mira Ezfa Abd Rasih, 25, yang turut cedera pada kepala selepas motosikal mereka melanggar sebatang pokok tumbang di jalan tersebut semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di Ampang Point. – Bernama