Home Dunia Dua pelajar ditembak di sekolah

Dua pelajar ditembak di sekolah

Dua pelajar ditembak dalam serangan senjata di Sekolah Tinggi Great Mills. foto Agensi

WASHINGTON – Seorang lelaki yang menembak dan mencederakan dua pelajar di sebuah sekolah tinggi di Maryland mati selepas berbalas tembakan dengan pengawal keselamatan.

Austin Wyatt Rollins, 17, telah menembak seorang pelajar perempuan, yang kini dalam keadaan kritikal.

Manakala, seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dilaporkan cedera.

Serangan itu berlaku pada pagi Selasa sebelum Sekolah Tinggi Great Mills di St Mary’s County, dekat Washington.

Rollins dikatakan mempunyai hubungan dengan mangsa perempuan itu, menurut polis.

Kes tembakan di sekolah itu berlaku selepas sebulan kejadian berdarah di sebuah sekolah di Parkland, Florida yang mengorbankan 17 nyawa.

Punca kematian Rollins tidak dipastikan – sama ada ditembak oleh pengawal keselamatan atau dia menembak dirinya sendiri.

Polis berkata, tembakan itu dilepaskan di laluan sekolah.

Rollins dikatakan melepaskan tembakan ke arah pelajar perempuan dan kemudian kepada pelajar lelaki.

Kejadian itu menyebabkan 1,600 orang pelajar lain terpaksa ditempatkan ke sekolah berhampiran sebagai langkah keselamatan sementara siasatan rapi sedang dijalankan. – MalaysiaGazette