PARIS – Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang menghadapi tuduhan menyalagunaan kuasa serta rasuah ketika sedang menerajui negara ini pada 2007 sehingga 2012 akhirnya didakwa.

Selepas hampir lima tahun pihak berkuasa ‘bergelut’ mencari bahan bukti yang mengaitkan Sarkozy, 63, hakim akhirnya mempunyai cukup bukti untuk mendakwa pemimpin politik berhaluan kanan itu.

Sarkozy didakwa menerima pembiayaan haram daripada daripada bekas pemimpin diktator Libya, Muammar Gadaffi yang mencecah jutaan dolar.

Muammar Gadaffi dipercayai mengambil wang milik rakyat Libya bagi menampung kos kempen pilihan raya secara haram bagi Sarkozy pada tahun 2007.

Pihak pendakwa raya mendakwa Sarkozy menggunakan dana melebihi yang sepatutnya sebanyak AS$24 juta (RM106.5 juta) serta menyertakan bil-bil palsu daripada sebuah firma perhubungan awam dikenali sebagai Bygmalion.

Namun demikian, sehingga kini Sarkozy masih menafikan sebarang penglibatan beliau dalam perkara termasuk menyembunyikan serta membelanjakan dana negara Libya bagi tujuan peribadinya.

Hakim telah mengarahkan Sarkozy untuk pulang tetapi akan diletakkan di bawah pengawasan mahkamah.

Beliau juga diberikan diberi tempoh enam bulan untuk membuat rayuan berhubung dakwaan itu dan hakim akan membuat keputusan lanjut  sama ada mereka mempunyai bukti mencukupi untuk kes itu dibicarakan atau sebaliknya.

Sarkozy bukan bekas presiden pertama yang pernah dikenakan pertuduhan rasuah.

Pada 2011, pemimpin konservatif, Jacques Chirac digantung perkhidmatan selama dua tahun selepas terbabit dengan penyelewengan dan penyalahgunaan dana awam. – Malaysia Gazette