KUALA LUMPUR – Senarai calon-calon MIC bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang telah diserahkan kepada pertimbangan Perdana Menteri sebelum ini dikatakan dirombak lagi.

Akhbar Tamil tempatan, Malaysia Nanban melaporkan, sumber terdekat parti itu berkata, senarai lengkap yang diserahkan kepada Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional itu disemak semula oleh MIC.

Rentetan daripada tindakan itu, dijangka satu perubahan besar akan berlaku dalam senarai calon MIC.

Perubahan itu juga dikaitkan dengan usaha Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam untuk menampilkan lebih ramai calon-calon muka baharu selain nasihat Perdana Menteri sendiri.

Sumber yang sama juga memaklumkan bahawa hanya nama Subramaniam selaku penyandang kerusi Parlimen Segamat, Johor dalam senarai itu disahkan setakat ini dan Menteri Kesihatan itu sudah mengesahkannya baru-baru ini.

MIC kini memiliki sembilan kerusi Parlimen dan 18 Dewan Undangan Negeri untuk dipertahankan pada PRU-14.

 

 

Sumber juga mengakui terdapat kemungkinan perubahan minit terakhir boleh berlaku dalam senarai calon berkenaan sekali lagi.

Selain itu wujud dakwaan ada pihak tertentu membuat percaturan tersembunyi di luar pengetahuan presiden MIC itu dalam hal ini.

Oleh kerana itulah Subramaniam tidak dapat mengesahkan semua pemimpin MIC yang dilantik sebagai penyelaras kawasan di seluruh negara sebagai calon sah PRU-14 lagi.

Dalam masa yang sama, kerusi Parlimen Cameron Highland yang merupakan kerusi tradisional MIC sejak tahun 2004 masih menjadi persoalan sama ada kekal kepada MIC atau kepada myPPP.

Sebelum itu, MIC dikatakan meletakkan ketua pemudanya, Datuk C. Sivarraajh di kawasan itu.

Maklumat juga juga mengatakan Bendahari Agung MIC,  Datuk Seri S. Vell Paari berpeluang bertanding di Parlimen Sungai Siput yang disandang ayahnya Tun Samy Vellu selama 34 tahun sebelum ini.- MalaysiaGazette