Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Seri Mohmad Salleh (tengah) menunjukkan gambar-gambar mesin membuat dadah pada sidang akhbar mengenai dua dekat pencapaian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membanteras dadah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya merampas kira-kira 10,000 tan dadah pelbagai jenis sepanjang dua dekad lalu.

Nilai rampasan dadah berkenaan adalah bermula tahun 1996 dan berjumlah RM3 bilion sehingga ke tahun lepas.

Mengikut pecahan, sebanyak 265 tan atau 264,914 kilogram pelbagai jenis dadah dalam bentuk ketulan dan serbuk, sebanyak 36 juta biji dadah bentuk pil dan 1 juta liter dadah berbentuk cecair.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kesemua jumlah rampasan dadah itu mampu digunakan untuk seramai 1.4 bilion individu yang menyalahgunakan dadah sekiranya terlepas ke pasaran gelap.

“Antara rampasan tertinggi ialah dadah jenis kristal syabu berjumlah 9,164 kilogram (kg), ketamin (3,162 kg, serbuk ekstasi 2,890 kg, cecair syabu (2,377 kg dan serbuk eramin 5 1,711 kg.

“Kesemua rampasan berkenaan adalah bermula tahun 1996 hingga 2017 (22 tahun),” katanya dalam sidang media khas bersempena Sambutan Hari Polis Ke-211 bertemakan Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada baru-baru ini.

Dalam rampasan berkenaan dadah tradisional iaitu daun ketum adalah berjumlah 203,465 kg.

Sepanjang tempoh itu juga katanya, pihaknya berjaya merampas sejumlah 22,445 unit pelbagai senjatapi dengan penangkapan 1,365 orang melibatkan 651 kes kesalahan pemilikan senjata api dan bahan letupan bersangkut kes-kes dadah.

Ujarnya antara senjata terbanyak dirampas ialah rampasan peluru sebanyak 21,685 butir, pistol (297 pucuk), senapang angin (131) dan semi auto bagi tempoh yang sama.

“Dalam kes kesalahan dadah pula sebanyak 2 juta (2,011,927) orang telah ditangkap iaitu bagi tempoh 2001 hingga 2017.

“Bagi tahun antara 1996 hingga 2001 pula seramai 65,109 orang ditangkap meliputi semua kesalahan membekal, memiliki dan positif urin sekaligus menyaksikan berjumlah keseluruhan 1.946 juta orang ditahan sehingga 2017.

“Polis juga bertindak tegas ke atas individu yang terlibat sebagai dalang dalam kes dadah dimana sepanjang dua dekad itu seramai 31, 643 orang telah diambi tindakan pencegahan dibawah Akta Dadah Berbahaya (LangkahLangkah Pencegahan Khas) 1985,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama bersama tangkapan dan rampasan dadah, polis turut mengambil tindakan penyitaan harta dibawah Akta Dadah berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Daripada 58,849 kes yang disiasat dibawah akta itu, JSJN telah menyita pe;bagai harta hasil kegiatan dadah dianggarkan bernilai 1.04 bilion dan dalam tempoh yang sama sejumlah RM143 juta harta berjaya dilucuthak kepada kerajaan.

“Memandangkan Malaysia bukan sebuah negara pengeluar dadah maka bekalan dadah dalam negara diperolehi melalui kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah oleh sindiket antarabangsa,” tegasnya.

Menurutnya, mereka mengambil peluang kemajuan infrastruktur, logistik dan perhubungan di negara ini untuk menjalankan kegiatan itu.

Setakat pengetahuan polis, katanya, dadah telah diseludup menerusi jalan udara, darat dan laut dengan menggunakan pelbagai modus operandi penyeludupan untuk bekala pasaran tempatan dan sebahagian besarnya untuk pasaran ke luar negara di rantau ini.

“Polis melakar kejayaan membongkar makmal ‘mega’ syabu terbesar iaitu yang pertama di Semenyih pada tahun 2004 berjumlah 3,000 kg setiap satu kitaran, pada tahun 2006 di Lunas pula syabu berkapasiti 3,000 hingga 3,500 kg dan akhirnya di Johor dengan rampasan 700 kg bahan prekursor ekstasi minyak safrole pada tahun 2008.

“Kalau ganja terbesar ialah pada 12 dan 13 Mac 2018 dengan rampasan 1,208 ketulan mampat ganja (1,200kg) bernilai RM4.2 juta.

“Dadah ancaman keselamatan seluruh dunia dan ibarat pokok tumbuh melata JSJN akan terus mencantas tunas sindiket dadah yang tumbuh dari akar umbi dan pengedarannya di negara ini.

“Dalam hal ini polis tidak boleh bergerak bersendirian dan sudah pasti menjalin kerjasama diperingkat domestik, serantau dan dunia,” tegas beliau.-MalaysiaGazette