Kevin Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Hukuman denda bagi pasukan yang lewat dan gagal melengkapkan pendaftaran pasukan Liga Malaysia 2018 telah dikurangkan.

Football Malaysia LLP (FMLLP) yang kini dikenali sebagai Malaysia Football League (MFL) berkata, 10 pasukan telah membuat rayuan kepada bagi pengurangan hukuman dalam masa 14 hari selepas makluman hukuman dibuat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, bagi denda pasukan unifi Liga Super Malaysia, hukuman telah dikurangkan dari RM 1.5 juta kepada RM 500,000 manakala pasukan 100PLUS Liga Premier pula hukuman dikurangkan dari RM500,000 kepada RM200,000.

Selain itu jelasnya, hukuman bagi sekatan perpindahan bagi pasukan yang gagal melengkapkan dokumen dan hukuman tertangguh pemotongan mata dikekalkan.

“Hukuman tersebut diringankan pada kali ini dengan memberi peluang kepada pasukan untuk membuat perubahan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Tetapi perlu ditegaskan, hukuman lebih berat melebihi RM1 juta akan dilaksanakan jika masih berlaku perkara yang sama berulang lagi pada masa hadapan,”  katanya dalam laman rasmi Facebook FML hari ini.

Kevin menjelaskan, keputusan Lembaga Pengarah mengenai rayuan ini dibuat atas nasihat Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette