SYDNEY – Australia mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS) dan sekutu British yang lain mengusir dua diplomat Rusia hari ini sebagai tindak balas terhadap serangan ejen saraf terhadap bekas ejen risikan Rusia di Salisbury, selatan England.

Agensi berita tempatan melaporkan, Perdana Menteri, Malcolm Turnbull berkata, kedua-dua diplomat diberi tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk keluar dari negara ini

Turnbull berkata, tindakan serangan menggunakan agen saraf ini sebenarnya mengejutkan dunia dan tidak akan dipandang ringan begitu sahaja.

“Keputusan ini mencerminkan sifat serangan senjata kimia yang mengejutkan itu. Ia yang pertama di Eropah sejak Perang Dunia II, membabitkan bahan yang boleh membawa maut di kawasan berpenduduk, sekali gus membahayakan anggota masyarakat yang lain,” katanya.

Semalam, sebanyak 14 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sebulat suara bersetuju mengusir diplomat Rusia sebagai tindak balas terhadap serangan ejen saraf melibat bekas ejen risikan Rusia itu.

Presiden EU, Donald Tusk berkata, tindakan itu dibuat susulan keputusan Majlis Eropah pada minggu lalu yang mahu tindakan diambil terhadap Rusia.

Ia sejajar dengan gesaan Perdana Menteri Britain, Theresa May kepada pemimpin-pemimpin EU agar menyokong tindakan Britain menyalahkan Rusia dalam insiden tersebut.

EU yang dianggotai 28 negara telah mengeluarkan kenyataan bersetuju bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap perbuatan jenayah meracun Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia pada 4 Mac lalu.

Setakat ini Jerman, Perancis, Poland memakumkan akan mengusir empat diplomat Rusia dari negara masing-masing manakala Republik Czech dan Lithuania akan mengusir tiga diplomat Rusia di negara berkenaan.

Itali, Denmark dan Belanda akan mengusir dua diplomat Rusia manakala Latvia mengusir seorang diplomat negara berkenaan.

AS telah mengumumkan akan mengusir 60 diplomat dan menutup pejabat konsulat Rusia di Seattle.

Sergei Skripal, bekas perisik Rusia berusia 66 tahun dan anak perempuannya Yulia, 33, ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah bangku di luar pusat beli-belah di bandar Salisbury, Februari lepas.

Skripal dan anak perempuannya dipercayai menjadi mangsa serangan toksin agen saraf dikenali sebagai Novichok buatan Rusia. – Malaysia Gazette